Iklan

06 Mac 2017

Backpacking Bajet Kuching | Part 1: Penang-KL-Kuching

السلام عليكم
Salam sejahtera ke atas kamu
Peace be upon you


Dah lama kiranya abang tak cerita pasal trip backpacking ni. Yang selalunya ada pun trip jalan-jalan naik motor tak pun jalan balik hari ja. Setelah beberapa purnama akhirnya dapat jugak abang keluaq dari zon selesa abang. Cuti payah nak dapat.

Baru-baru ni abang 'terbuat' satu trip ke Kuching tanpa dirancang pun. Nanti ada la bunyi sumbang di luar tu "Woi macam ni la tak hajak !". Betul, abang tak plan pun nak pi Kuching ni.

Kisahnya bermula pada satu malam tu 2-3 hari sebelum hari kejadian. Kebetulan abang ada cuti 4 hari sempena perayaan hari Thaipusam. Hari Thaipusam jatuh hari Khamis, jadi abang mintak lagi sehari cuti hari Jumaat tu. Sabtu Ahad dah sedia cuti. Jadi jumlah cuti yang abang ada 4 hari keseluruhannya.

Cuti dah ada tapi tak plan lagi nak pi mana. Dalam kepala nak kayuh basikal la, ronda naik motor la dan macam-macam lagi. Tergerak hati abang nak buka laman web Airasia malam 2-3 hari sebelum tu.

Destinasi tak ada lagi, tapi saja la usya kot ada mana-mana yang murah. Abang godek-godek main laman web Airasia tu. Abang cuba pilih dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, tapi hampa. Tiket mahal sangat, sampai dekat RM 300 sehala.

Tapi betul lah, dah seminggu sebelum penerbangan tiket 'flight' memang mahal pun. Selalu beli 5-6 bulan awal ja yang boleh dapat murah. Sebelum ni masa trip Trans Borneo, abang pernah dapat tiket balik dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur dengan harga RM 25 ja. Ya, RM 25. Bukan RM 250.

Saja la abang nak cuba nasib kali ni. Kot-kot ada tiket murah. Nak pi belah Indonesia ka Thailand, passport pulak dah mati. Kena pusing  jalan dalam Malaysia ja lah kali ni.

Nak jalan di sebelah Semenanjung, biasa sangat dah. Nak kena pi belah Borneo jugak ni.  Abang periksa tiket flight ke Tawau, kot-kot boleh jalan ke Pulau Mabul. Amboi tingginya cita-cita. Tapi tiket ke sana pun mahal jugak.

Abak selak pulak destinasi seterusnya iaitu Kuching. Tengok-tengok tarikh yang abang pilih tu (Hari Thaipusam) cun-cun tiket tengah murah ! Harga penerbangan sehala ke Kuching abang dapat cuma RM 59 ! Waktu balik pun harga yang sama. Jadi kos kerosakan untuk tiket flight ke Kuching pergi balik cuma lebih kurang RM 120 sahaja !

Mula-mula abang rancang nak pi solo ja. Tapi saja la abang tanya kawan abang si Ijam nak ikut tak. Tak harapkan dia ikut pun. Tapi tiba-tiba je dia on! Terus abang beli tiket untuk lagi sorang. Harga masih RM 59 waktu tu.






Betullah. Yang kita tak rancang kadang-kadang ni betul-betul menjadi. Yang dok plan bertahun-tahun sampai ke sudah tak pernah jadi. Buat cara camni senang. Kau on aku on, jalan !

Abang sebenarnya dari Penang. Jadi kalau beli tiket flight dari Penang ke Kuching jatuh mahal balik. Jadi terpaksa la turun KL dulu naik bas. Tapi kalau kira-kira balik jauh lebih murah naik bas pi KL, kemudian naik flight ke Kuching daripada naik flight Penang-Kuching.

Lupa abang nak kongsikan lagi satu tips. Kalau nak beli tiket bas secara online, boleh je beli melalui redbus.my. Tidak,tidak ini ikan tak berbayar. Abang selalu beli tiket bas guna redbus.my ni sebab senang dan mudah.

Tak payah kalut-kalut pi stesen bas, nak kena menghadap jem dan ulat tiket lagi. Buka je laman web dia tu dan cari waktu dan tarikh yang kita nak. Boleh bayar guna Maybank2u atau CIMB Clicks. Tempat duduk pun boleh pilih. macam naik kapal terbang jugak.

Yang paling syoknya ada diskaun lagi. Kadang-kadang sampai 20%! Tiket bas dari Penang ke KL harga biasa dalam RM 38.50 boleh dapat murah dalam RM 31.00 ja! Mudah lagi murah !



Naik bas dari KL Sentral ke KLIA2.

Waktu terakhir abang naik bas dari KL Sentral ke KLIA2 masa tu baru RM10. Ni masuk 2017 harga tambang bas dah jadi RM12 !

Jangan salah beli tiket bas. Ada yang ke KLIA dan ada yang ke KLIA2. Abang mula-mula tu tersilap jugak. nasib baik dapat balik duit.

Ni dia bas yang nak pi KLIA2 tu. Boleh isi beg bawah tu kalau beg besaq-besaq.

Boleh duduk mana-mana ja dalam tu, Free seating.

Dari KL Sentral, abang naik bas ke KLIA2. Hangpa kena turun kat bahagian bas di bawah tu kalau nak cari bas ke KLIA atau ke KLIA2. Jangan salah naik bas. KLIA dan KLIA2 walaupun dekat-dekat tapi dua tempat yang berbeza. Bas yang pi KLIA takkan masuk KLIA2, sama jugak sebaliknya.

Tiket bas dari KL Sentral ke KLIA2 sekarang dah mahal abang rasa. Dulu seingat abang RM 10 ja, tapi sekarang ni masuk 2017 ni harga tambang bas dah jadi RM 12 ! Tu dia haih. Nak tak nak terpaksa la jugak naik.

Kekerapan bas ni dia tak ikut masa. Penuh ja penumpang dia jalan. Selalu cepat ja penumpang penuh. Bas dia yang warna kuning dengan merah tu. Memang bas tu je pun yang ada pun. Tiket bas boleh dibeli di kaunter tiket yang berhampiran.

Lupa pulak abang nak cerita pasal si Ijam yang abang ajak ikut sebelum ni. Abang jumpa dia dalam bas yang sama ke KLIA2 ni. 

Dalam sejam sampai la KLIA2 tu. Hangpa kena la set masa siap-siap. Jangan kata flight pukul 12.00 pukul 11.00 baru nak naik bas. Ingat kapal terbang Airasia tu nak tunggu hang?


Sampai dah KLIA2. Nak berjalan masuk sampai boarding gate bukan main jauh.

Tunjuk boarding pass Airasia kat abang ni. Tunggu dulu sebelum dipanggil naik kapal terbang.

Abang bawak beg kecik ja. Cukup la untuk 3 hari 2 malam ke Kuching ni.

Lama dah tak sampai KLIA2 ni. Lama jugaklah kiranya tak naik kapal terbang,

Awek segak yang dok sebelah abang. Abang buat-buat ramah, tapi tak menjawab. Rupanya tak dengaq, pakai earphone!

Penerbangan abang ke Kuching dijadualkan pada pukul 12.55 tengahari. Pukul 11.00 pagi abang dah naik bas dari KL Sentral. Elok la pukul 12.00 sampai KLIA2. Dok melilau pusing-pusing dalam tu cari boarding gate, cun-cun ja dia panggil masuk naik kapal terbang.

Penerbangan dari KL ke Kuching mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit. Oleh kerana abang tak pilih tempat duduk dalam flight ni, nasib abang la dapat duduk di tengah-tengah. Harapan nak duduk tepi tingkap tak dapat. 

Ada awek sorang duduk sebelah abang tepi tingkap. Tak dan nak menyembang, telinga dok ada earphone ja sepanjang masa. Kita nak mulakan perbualan tapi rasa macam tengah cakap dengan kerusi depan pulak. Takda sambutan. Haha.

Yang mencabar keimanan bila naik flight Airasia ni bila orang sebelah pesan makanan. Orang yang duduk di seat belakang pun tak nak kalah, order makan jugak. Dia punya bau tu yang abang tak tahan. Terkulai layu abang menahan sebak bau nasi lemak, nasi beriyani dan sewaktu dengannya.


Gambar wajib bila naik kapal terbang. Si Ijam dapat tempat duduk tepi tingkap, dapat la dia mabik gambaq camni.

Bentuk muka bumi negeri Sarawak. Dah nak sampai dah waktu ni.

Selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Berjalan masuk dalam Airport Kuching bak seorang pramugari.

Kena tunjuk kad penegenalan atau passport dulu di kaunter imigresen. Nanti dapat satu salinan slip. Kena simpan dan pulangkan semula waktu nak balik.

Mencari pintu keluar dari Airport Kuching.

Abang & si Ijam sampai di Kuching lebih kurang jam 2.45 petang. Kami sebenarnya tak ada itinerary khusus pun nak kena buat apa dan apa selepas ni. Si Ijam pulak harap kat abang pulak. Jenis abang pulak kalau plan tak akan ikut 100%. Apa yang abang ada gambaran awal & plan kasar ja. Selebihnya tu baru akan dirancang di tempat kejadian.

Sebelum keluaq dari Airport Kuching ni, kita kena melepasi dulu bahagian imigresen. Kalau orang luaq kena tunjuk passport dulu, dan bagi mereka yang dari Semenanjung pulak kena tunjukkan kad pengenalan. 

Nanti pegawai imigresen di kaunter tu akan bagi hangpa satu salinan slip. Dekat slip tu ada la tercatit bila waktu & tarikh yang hangpa masuk ke negeri Sarawak dan berapa lama hangpa boleh duduk kat Sarawak ni. Slip ni hangpa kena simpan elok-elok dan kena serahkan semula masa hangpa nak berlepas balik semula ke Kuala Lumpur nanti. Tak lama mana pun urusan imigresen ni, dalam 2-3 minit kot lebih kurang.

Setibanya di pintu keluar Airport Kuching, rancangan kami seterusnya adalah untuk ke pusat bandar Kuching. Ya, di situlah destinasi kita. Ada beberapa pilihan yang abang tengok sebelum ni.

Cara paling mudah ambik teksi berkupon dari Airport Kuching terus ke pusat bandar. Harga semua standard RM 26. Dia akan bawa hangpa berhenti di mana-mana lokasi yang hangpa nak pi di bandar Kuching ni.

Cara yang adventure sikit boleh naik bas. Tapi menurut kajian abang, bas jarang-jarang nak ada dan kena menapak jauh sikit dari Airport Kuching ni. Jatuh lambat pulak nanti.

Ni pulak cara abang sendiri. Dengan kemajuan teknologi terkini, kami menggunakan perkhidmatan Uber ! Mujur la abang check tengok ada Uber yang beroperasi di Kuching ni. lagi pun dia baru beroperasi hujung tahun lepas. Memang cantik sangat lah tu.

Abang periksa tambang dari Airport Kuching ke pusat bandar lebih kurang dalam RM11 ! Murah banyak tu berbanding teksi berkupon ! Boleh jimat lebih dari separuh !

Jadi untuk menyenangkan semua pihak, abang dan Ijam keluaq jalan kaki sikit ke jalan besar depan Airport Kuching ni. Barulah kami cari Uber. Lagi pun bila keluaq sikit dari airport ni takdalah menyakiti mana-mana pihak ! Kahkah !

Jalan keluaq dari Airport Kuching sikit.

Selamat datang ke Kuching !

Jalan besar depan Airport Kuching. Lintas jalan seberang sana kalau nak naik Uber murah lagi.

Cubaan menaiki Uber dari Airport Kuching ke pusat bandar Kuching.

Uncle drebar Uber yang ambik kami guna Perodua Myvi.





Abang mintak drebar Uber hantaq kami pi lokasi penginapan kami yang diberi nama Quiik Cat Guesthouse. Tak, kami tak buat tempahan apa pun untuk bajet guesthouse ni. Cara abang main terjah ja. Ada nasib ada la, kalau takda cari tempat lain.

Mana abang tahu pasal Quiik Cat Guesthouse ni? Sebelum pi Kuching abang ada la riki-riki sikit penginapan yang bersesuaian dengan bajet kami yang ciput ni. Buka Google, Facebook dan sebagainya, abang jumpa Quiik Cat Guesthouse ni dekat Twitter. Abang tengok ada akak sorang ni kata tempat dia ok dan selesa. Harga pun murah. Apa lagi abang pun catit simpan la buat rujukan !

Sampai di Quiik Cat Guesthouse, sangkaan abang meleset. Kat Tripadvisor abang tengok mat salleh dok 'mingle around' semacam ja. Maksud dia boleh lepak-lepak bercampur satu sama lain. Abang dok agak ni mesti orang putih owner guesthouse ni.

Kedatangan abang dan Ijam ke Quiik Cat Guesthouse disambut oleh dua orang gadis muslimah. Sorang bertudung labuh & sorang lagi berniqab. Patut syariah habis. Terkejut jugak kami tu pada mulanya.

Kami tanya ada bilik kosong tak untuk dua orang. Dia kata bilik dah penuh ditempah. Yang tinggal pun jenis dorm ja. Satu dorm tu muat 5 orang. Dorm untuk lelaki sahaja hokey !

Kami tanya lagi berapa harga bilik dorm untuk semalam? Kata akak kaunter yang bertudung labuh RM25 seorang/malam. Kalau tak ada orang masuk lagi lepas kami masuk ni, maka dorm tu jadi kami punya la !

Abang on & Ijam pun on. Kami nak duduk Kuching ni selama 2 malam. Jadi RM 50 la sorang kiranya.

Sebelum tu akak yang berniqab bawa kami naik tingkat atas tunjuk bilik dorm yang kami nak duduk tu. Kena tengok dulu takut tak puas hati. Kalau tak puas hati awal-awal ni boleh tukaq pi cari tempat lain lagi. Sat lagi kalau dah duduk payah dah.

Tak payah deposit apa pun waktu nak check-in. Bilik dorm yang kami duduk ni siap ada air-cond lagi. Ada katil double-decker dan kain tuala disediakan. Ok lah tu RM 25 semalam.


Penginapan bajet kami di bandar Kuching. Receptionist Quiik Cat Guesthouse ni sejuk-sejuk mata memandang semuanya. Ada yang berniqab lagi.

Mula-mula tu abang ingatkan tourist luar, rupanya pekerja Quiik Cat Guesthouse ni jugak. Tapi orang asing, bukan orang tempatan.

Tingkat atas Quiik Cat Guesthouse. Berhadapan dengan jalan besar. 

Mural yang menghiasi dinding Quiik Cat Guesthouse.

Keluaq meronda di bandar Kuching selesai check-in di Quiik Cat Guesthouse.

Bandar Kuching ni kalau hangpa perhati memang betul-betul bersih.

Jumpa tokong dekat-dekat jalan nak pi Esplanade Waterfront Kuching.

Nampak tak? Apa yang hangpa nampak? Susah nak jumpa sampah di bandaraya Kuching ni.

Kalau malas nak jalan kaki boleh ja sewa basikal ronda bandar Kuching. Harga abang tak pasti la pulak sebab tak sempat tanya.

Trend seni jalanan ni dah semakin menular di bandar-bandar besar. Kuching pun tidak terkecuali. Banyak jugak street art yang kelihatan.

Memang kami berdua ja la dalam bilik dorm Quiik Cat Guesthouse ni. Sorang ambik satu katil la lepas tu. Siap-siap mandi dan solat semua, kami keluaq balik meronda bandar Kuching dalam pukul 5.00 camtu.

Kena la guna masa sepenuhnya bila ada di bandar Kuching ni. Kalau masuk hostel terus nak tidoq baik tak payah travel. Dok rumah pun boleh tidur. Huhu.

Dari hostel Quiik Cat Guesthouse kami berjalan menuju ke Kuching Waterfront. Tak jauh mana pun. Dalam 10 minit jalan santai-santai jalan pengantin sampai la.

Yang abang perhati bandar Kuching di Sarawak ni memang bersih sungguh. Macam di Labuan abang pernah pi pun bersih jugak. Susah la nak nampak sampah hatta puntung rokok sekali pun. Sungguh. Nampak? Beria sungguh promosi Kuching ni.

Bila hangpa dah sampai Kuching Waterfront ni, hangpa boleh la berjalan kaki menikmati pemandangan di pinggir Sungai Sarawak. Ada bajet lebih boleh cuba naik River Cruise pusing-pusing. Abang hanya mampu tengok ja la dari jauh.

Antara ikon yang menarik dapat hangpa tengok dah tentulah Dewan Undangan Negeri Sarawak yang terletak di seberang Sungai Sarawak ni. Ala yang bumbung kubah dia warna emas tu. Kalau hangpa nak pi seberang sana, boleh naik bot penambang pi belah sana.

Abang tak lepak lama di Kuching Waterfront. Aktiviti kami seterusnya, kami naik bot penambang ke Kampung Boyan yang jugak terletak di seberang sungai.


Sampai pun Waterfront Kuching di tebing Sungai Sarawak ni. Belakang tu yang kubah macam warna emas tu Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Si Ijam masih meneliti fungsi Iphone 7 Plus beliau.

Yang ni pulak River Cruise yang hangpa boleh naik. Dia akan pusing la Sungai Sarawak ni dalam masa-masa yang tertentu.

Inilah dia port yang menjadi tumpuan pelancong luar bila berkunjung ke Kuching.

Laluan pejalan kaki yang bersih di pinggiran Sungai Sarawak.

Teringin nak naik bot panjang Iban di Sarawak ni? Nah boleh daftar dan tengok jadual waktu dia.

Ni pulak bot penambang yang berulang-alik bawa penumpang dari Kampung Boyan yang terletak di seberang sana.

Syok layan pemandangan petang-petang macam ni di Kuching.

Tunggu bot penambang untuk ke Kampung Boyan.

Bot penambang di Kuching ni kira berdasarkan kepala. Masa nak pi ni tambang untuk seorang RM 0.50.

Tunggu orang sat bagi penuh bot.

Dok rapat-rapat sikit la dalam bot ni. Banyak yang abang tengok orang semenanjung jugak.

Yang ni baru orang Kuching betul. Segak-segaknya la alahai orang Kuching ni.

Pakcik ni yang bawa bot penambang maneuver guna dayung yang ada depan dia ni. Bot ni pun guna enjin jugak.

Turun Kampung Boyan dah ada orang menjual. Maksud abang jual ikan terubuk.

Ada apa di Kampung Boyan? Kenapa, tak boleh jalan kaki ka pi sana?

Boleh kalau hangpa nak pi jalan kaki tapi tu dia punya jauh hangpa kena jalan nak naik jambatan. Naik kereta ka motor boleh la jugak gagah nak harung pi. Kalau setakat jalan kaki toksah gagah sangat. Naik bot penambang ja senang.

Bot penambang dikenakan tambang sebanyak 50 sen sorang masa kami nak pi ni. Dalam bot tu abang rasa dalam 20 orang pun boleh muat. kalu penuh baru dia jalan. Tapi tak lama pun nak tunggu orang penuh. Sat ja penuh la tu. Tak sampai 5 minit.

Nak naik bot ni hangpa kena la tunggu di jeti yang disediakan. Nanti akan ada bot yang mai hangpa naik la bot tu. Tak sampai 5 minit pun nak pi seberang ke Kampung Boyan tu. Tak dan panas punggung.

Turun Kamppung Boyan, abang dan si Ijam terus pi terjah kedai kek lapis. Bukan nak beli sangat pun sebenarnya tapi saja la nak meronda tengok. Ikan terubuk ka apa kami tak layan lagi.

Ada banyak kedai kek lapis tak salah abang. Antara nama yang abang ingat Kedai Kek Lapis Mira, Kedai Kek Lapis Dayang Salhah & Kedai Kek Lapis Warisan.

Yang abang sempat masuk cuma Kedai Kek Lapis Mira & Kedai Kek Lapis Dayang Salhah ja. Dah petang waktu tu. Tapi abang rasa syok lagi masuk Kedai kek Lapis Dayang Salhah. Mungkin sebab nama dia sedap kot nak macam Dayang Nurfaizah. Ka pekerja dia comey-comey. Abang pun tak pasti. Haha.



Bukan sesaja mai Kampung Boyan yang dok seberang Sungai Sarawak ni. Nak mai jenguk kedai kek lapis Sarawak katanya.

Dah jumpa dah kedai kek lapis yang pertama. Kedai Kek Lapis Sarawak Mira.

Macam-macam jenis kek lapis ada di Kedai Kek Lapis Mira ni. Yang biasa ada, yang dok dalam peti ais pun ada.

Kek lapis yang paling murah pun jenis macam ni la. RM10 sepotong tu.

Macam-macam jenis perisa kek lapis ada. Mana satu yang sedap pun abang tak tau. Rasa macam sama ja semua abang rasa.

Ambik hang. Perisa 'Dilwale' pun ada. Ni yang dipanggil penunggang hindustan. Eh.

Selain kek lapis, nak cari ikan terubuk sini la tempat dia di Kuching ni.

Ikan terubuk pun macam-macam saiz dan harga bergantung pada saiz. Yang tu kipas angin, bukan UFO.

Kedai Kek lapis Dayang Salhah kena masuk dalam sikit tepi-tepi masjid ni. Kalau pertama kali mesti ingat salah jalan.

Ni dia Kedai Kek Lapis Dayang Salhah. Pink benor !

Sama jugak macam Kedai Kek lapis Mira tadi, dekat Kedai Kek Lapis dayang Salhah ni pun ada macam-macam jenis kek lapis

Ni pulak jenis-jenis kek lapis yang ada di Kedai Kek Lapis Dayang Salhah.
'Free tester' di Kedai Kek Lapis Dayang Salhah. Memang abang rasa sungguh-sungguh la.
Haa ambik-ambik nak rasa yang mana satu.

Ni semua gambaq yang lawa-lawa semua dari telefon Iphone 7 Plus si Ijam. Siap ada bokeh lagi. Selain tu dari telefon Lenovo abang ja.

Bihun sup gaya Sarawak. Sup dia tak berapa nak rasa sangat.

Abang mundar-mandir buat-buat sibuk merasa segala macam jenis kek lapis yang ada dalam Kedai Kek Lapis Dayang Salhah. Dia ada potong kek lapis bagi orang rasa perisa yang ada dijual dalam tu. Serba satu abang rasa. Kebetulan kami pun tak makan nasi tengahari sebelum tu. Alhamdulillah hidayah milik Allah. Kenyang kami petang tu.

Serba salah pulak dibuatnya tak beli apa pun dah masuk dalam ni. Takkan nak keluaq kekenyangan macam tu ja. Abang beli la sepotong kek lapis berharga RM10. Kot-kot boleh potong makan malam satgi sebelum tiduq.

Keluaq dari Kedai Kek Lapis Dayang Salhah, abang dan Ijam pekena bihun sup & teh'o dulu tepi masjid lorong masuk tu. Tengok akak kedai ni tak boleh cakap Melayu, tapi bertudung litup. Citarasa bihun sup kat sini pun lain dari kita di Semenanjung. Tapi kalau sekadar nak makan tu boleh la.

Waktu kat Sarawak ni lebih kurang macam di Sabah jugak kalau hangpa biasa sampai. Cepat gelap. Pukul 6 macam tu dah nak masuk waktu Maghrib dah.

Sebelum Maghrib, cepat-cepat kami naik bot balik semula ke Kuching Waterfront. Masa balik naik bot penambang kena RM1.00 pulak seorang. Masa pi tadi 50 sen ja. Tapi orang tak berapa nak ramai dalam bot tu. Patut la pun.

Sebenarnya bot tambang ni beroperasi sampai malam hari. Tapi tak pasti sampai pukul berapa. Kalau kedai kek lapis di Kampung Boyan tu abang tanya depa tutup pukul 12.00 malam. Bot tambang pun lebih kurang macam tu jugak abang rasa.

Bot penambang dah maju dah sekarang, ada enjin sangkut.

Naik bot penambang balik ke Kuching Waterfront.

Penumpang tak seramai macam waktu mai tadi.

Tengah dok tunggu orang lagi. Kot ada yang nak naik lagi.

Sampai balik dah di Kuching Waterfront. Naik bot tambang RM 1.00 waktu balik ni.

Turun dari bot penambang di pengkalan berhampiran dengan Kuching Waterfront ni, kami terus terjah tugu kucing yang menjadi ikon bandaraya Kuching. Dari pengkalan bot yang kami turun tu tak jauh mana pun dengan berjalan kaki, abang agak lebih kurang 200 meter camtu ja.

Tengok siap-siap la dengan ambik gambaq apa yang patut dulu depan tugu kucing ni. Takut lepas ni tak sempat dah nak berjalan mai sini. Kena ambik nombor giliran jugak nak bergambar dekat tugu kucing ni. Masing-masing pun nak bergambar. 

Masa abang pi ni ada satu keluarga tengah dok posing sakan. Tapi lama-lama depa beredar, mungkin segan bila kami dok perhati tengok ja gelagat depa.
Waktu Maghrib masuk awal di Kuching ni. 

Dalam pukul 6.50 P.M dah masuk waktu Maghrib. Dari tugu kucing, kami balik semula ke Quiik Cat Guesthouse.


Tugu yang menjadi ikon bandaraya Kuching.

Bagi peluang dulu depa bergambar depan Tugu Kucing ni.

Bandaraya Kuching di waktu senja. Payah nak nampak kesesakan trafik.

Selamat balik ke Quiik Cat Guesthouse. Semuanya bertemakan kucing dari dinding hingga ke hiasan dalaman termasuk cadar.

Masuk balik dalam dorm kami, masih tak ada sapa yang check-in. Masih kami berdua ja yang ada dalam dorm ni. Tak lama kemudian, baru siap-siap nak mandi. Bilik kami diketuk.

Ada sorang budak cina yang mai masuk bilik dorm kami ni. Dengan sopannya dia tanya,

 " Do you mind I share this room with you?"

Eh takkan nak kata tak boleh. Dah nama pun bilik dorm. Sesiapa pun boleh masuk check-in.

Tak boleh dah la kami nak bermanja berdua malam ni kata abang kat Ijam. Huhu.

Budak cina yang baru masuk ni nama dia kami panggil Ah Hui ja. Orang Batu Pahat, Johor tapi tak berapa nak boleh cakap Melayu. Banyak cakap Inggeris ja dengan kami. Abang pun bukannya pandai sangat cakap Inggeris pun, tapi abang langgar je.

Aktiviti seterusnya di malam hari adalah masa untuk mencari makan. Makan bihun sup petang tadi kat Kampung Boyan tak berapa nak kenyang. Lokasi pilihan malam tu depa kata power sangat kat Kuching ni. Jadi kami pun nak cubalah ! Dekat mana tu?

Top Spot!

Apa dia Top Spot ni?

Top Spot ni sebenarnya medan selera yang terletak di bumbung bangunan. Bangunan nama apa tu abang kurang pasti. Yang menariknya kedai-kedai ayang ada di dalam Top Spot ni semuanya jual makanan berasaskan makanan laut walaupun dok atas bumbung!

Selalu nak makan makanan laut kena pi tepi laut, ni tidak semuanya ada dalam medan selera atas bumbung tu. Kalau hangpa nampak ada tulisan cina ka apa tu kat kedai-kedai dia, jangan risau dijamin halal. Banyak ja orang kita pi makan seafood kat atas ni.

Malam tu lepas Isyak abang dan Ijam rancang kami berdua ja nak pi Topspot tu. Ah Hui yang baru check-in tadi ni dah hilang entah ke mana lepas tukaq baju. Kami jumpa Ah Hui di tingkat bawah Quiik Cat Guesthouse ni tengah sembang-sembang dengan minah salleh mana tak tau.

Dia tanya abang nak pi mana. Kami kata nak pi makan. Dia kata nak join sekali boleh tak. kami ok ja. Nak dijadikan cerita si Ah Hui tadi ni pun ikut la abang dengan Ijam sekali jalan kaki ke Top Spot.

Kami bukannya tahu pun jalan nak pi Top Spot tu sebenarnya. Mujur la ada Google Maps, taip je dah jumpa dah. Jalan kaki dari Quiik Cat Guesthouse ni ada la dalam 20 minit. Kena naik turun bukit sikit.

Sampai di lokasi, kami meronda dulu tawaf ruang makan Top Spot ni. Tengok mana yang sesuai. Meja hampir penuh dengan orang ramai. Meriah betul.

Kami ambik port di kedai yang paling hujung sekali, tengok ada meja kosong kat situ. Style kat sini jenis yang boleh pilih lauk apa yang hangpa mau. Nak ikan siakap ka, kerapu ka, udang, sotong ka dan macam-macam jenis lagilah.

Untuk 3 orang makan ni, kami pesan ikan siakap masak Thai + sayur kailan goreng bawah putih dan nasi kosong 3 pinggan. Itu sahaja. Ayaq pulak gerai lain pulak yang jual. Semua ambik fresh oren. Secawan mau dekat RM 5 jugak !

Harga makan kat sini abang rasa ok lah, takda la melampau sangat. Lauk yang kami pilih beserta nasi tu dalam RM 50. Boleh la makan 3 orang.

Inilah dia Top Spot yang menjadi lokasi tumpuan pengunjung yang mencari makanan laut.

Ruang terbuka di tingkat atas bumbung bangunan untuk pengunjung yang datang makan di Top Spot ni.

Ambik port hujung dunia atas medan selera Top Spot ni.
Menu kami di Top Spot malam tu. Ikan siakap masak sos Thai, kailan goreng bawang putih dan nasi putih.



Memperkenalkan Ah Hui yang ikut abang join makan di Top Spot Kuching.



Ronda-ronda lepas makan. Lobster pun ada.

Ketam jenis apa pun tak tau yang nih.

Aneka pilihan bahan mentah yang boleh dipilih untuk dimasak.

Tahukah anda itu adalah telur dadar?

Selesai makan di Top Spot, kami tak balik terus ke Quiik Cat Guesthouse. Malam masih muda. Kami menapak terus ke kawasan sekitar Kuching Riverfront. Saja la nak tengok aktiviti malam apa yang menarik dekat Kuching ni.

Di sepanjang pinggiran Sungai Sarawak ni, ada macam-macam benda hangpa boleh tengok. Yang geng busking dengan buskingnya. Gerai-gerai kecil yang meniaga barangan cenderahati pun ada jugak waktu malam macam ni, tapi tidak semeriah uptown kita di Semenanjung ni.

Kami meronda tanpa arah tuju. Masuk lorong itu lorong ini. Ada satu lorong tu abang masuk ada hostel untuk backpackers. Harga lebih kurang macam di Quiik Cat Guesthouse tempat kami menginap. Cuma di sekeliling jalan ni ada banyak pub dan kelab malam.



Balik dari Top Spot, meronda jalan-jalan dulu di Kuching Waterfront.

Pondok wakaf pun ada jugak.

Sarawak River Cruise ni di dah tak jalan dah waktu malam.

Ada jugak kedai makan kecil-kecilan di tepi pesiar kaki ni.

Nak beli gambir ke cenderahati ke nak bawak balik Semenanjung boleh tengok-tengok dulu. Selalu orang beli tikar buluh dari Kuching ni. Tapi kena tunggu kedai waktu siang baru bukak.

Kuching Waterfront Management Office. Maaflah telefon Lenovo ja, kualiti tak berapa nak elok.

Macam Chinatown. Siap ada pintu gerbang bagai ni.

Oleh kerana majoriti penduduk yang menetap di bandar Kuching adalah dari bangsa China, maka banyaklah tokong-tokong yang ada dalam bandar ni.

Backpackers hostel yang ada di Kuching.

Lorong-lorong yang terang benderang. Syok nak jalan dalam pekan Kuching ni.

Fotografi jalanan di malam hari. Ijam masih bermain-main dengan tetapan Iphone 7 Plus-nya.

Grafiti hasil seni jalanan yang boleh dilihat di malam hari di sekitar bandaraya Kuching.

Balik semula ke Quiik Cat Guesthouse.

Quiik Cat Guesthouse ni kalau kita balik lambat boleh ja call depan pintu. Sat lagi orang dia turun mai bukak pintu.


Sebelum balik, si Ah Hui ajak ronda tasik yang ada dekat-dekat hostel kami duduk ni. Kata dia syok pi petang tadi. Kami pun turut la si Ah Hui ni. Tasik tu nama Taman Budaya Reservoir Park.

Jalan masuk pun dah sunyi, sampai-sampai tasik, nah gelap ! Tak sama macam Tasik Titiwangsa kalau kat sini.

Terus la kami balik Quiik Cat Guesthouse. Takkan dok nak menyembang dalam gelap tu kot.

Balik-balik letak-letak kepala pakat lena tak ingat apa dah. Letih dok berjalan kaki kot seharian hari ni.


14 ulasan:

  1. Balasan
    1. Kembara bajet ciput je ni bang !

      Padam
    2. ada nk pi mana lg tak backpack. nk join.

      Padam
  2. huih.jauh na makan bihun sup. area kampung boyan tuh ada kedai makan baruk. kmk suka makan ayam bakar kt sana. best kn kuching hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Dok Google hari tu pernah tengok kedai makan 'baruk' tu. Tapi waktu pergi tak jumpa !

      Tu yang pekena bihun sup tu. Haha.

      Hatiku tertinggal di Kuching ! :)

      Padam
  3. fuhh terbaik, untyung hang dpt grap harga tiket fligt murah..btw
    best juga review kuching ,,tringin juga nak p for sure nak makan kek lapis..
    nampak bandar kuching pun ckup hipter byak mural depa lukis..mnarik..
    waiting sambungan part 2

    BalasPadam
    Balasan
    1. Rezeki beli 3 hari sebelum tu. Haha. Tapi selalunya tiket flight ke Kuching selalu ja murah kalau nak banding dengan pi Kota Kinabalu ke mana.

      Bandar Kuching dah banyak dah mural-mural kat dinding ni. Lagi satu bandar dia pun bersih ya amat !

      Padam
  4. Kenapa x beli tiket bas dengan add on AirAsia, baru RM17.80 pergi balik, save RM6.20!
    atau ambil bas di TBS sahaja, baru RM10 sehala...

    BalasPadam
  5. nak Tanya.. drone yg kamu pakai tu jenis apa ye?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Drone jenis Horizon Hobby Blade 350 QX3

      Padam
  6. Balasan
    1. Heaven memang heaven tapi abang tak begitu mampu. Huhu

      Padam
  7. Nk p Sarawak 28-30 bln ni..plan nk p 2org..last mnit mmbr xjd p plak..tpksa p sorg2 laa..1st time nk travel sorg2..rse takot pn ade..pompuan kn..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Insyaallah boleh ja perempuan sorang-sorang pun nak jalan kat Sarawak tu. Rasa selamat lagi berbanding KL. Huhu

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...