Iklan

21 Februari 2018

Trip Segera Trans Nusa Tenggara | Part 4: Labuan Bajo-Pulau Padar


Agak lama jugak abang tak sambung menulis. Cerita Trip Segera Nusa Tenggara ni entah bila nak habis. Asyik bertangguh tak sudah-sudah. Tak ada kesempatan masa nak menulis.

Maaf kalau ada perincian-perician yang abang lupa nak masukkan sekali. Tolong ingatkan abang. Dah tua-tua ni ingatan dah semakin menghakis. Waktu segar-segar dulu lepas trip tak nak pulak menulis.






Kat mana kita ya? Oh sambungan cerita pelayaran balik hari atau 'Day Trip Sailing' dari kota Labuan Bajo ke Taman Negara Komodo.

Sebelum tu abang nak cerita sikit Taman Negara Komodo ni.

Taman Negara Komodo atau Komodo National Park merupakan sebuah taman negara yang terletak di antara Nusa Tenggara Timur & Nusa Tenggara Barat. Taman Negara Komodo ni terdiri daripada 3 buah pulau yang besar iaitu Pulau Komodo, Pulau Rinca & Pulau Padar.

Apa yang menariknya Taman Negara Komodo ni?

Kalau yang tak tahu tu mesti kurang membaca atau tak tengok rancangan National Geography. Orang mai Taman Negara Komodo ni sama ada dua ja, nak tengok biawak Komodo atau nak tengok laut & terumbu karang dia. Lokasi popular jugak ni bagi kaki selam skuba!

Untuk edisi catatan kali ni abang tak nak cerita banyak. Abang nak cerita dulu pengalaman & panduan dari kota Labuan Bajo ke Pulau Padar, salah satu pulau yang terdapat di dalam wilayah Taman Negara Komodo.






Labuan Bajo, pintu masuk utama ke Taman Negara Komodo. Labuan Bajo merupakan kota pelabuhan pulau Flores yang semakin meningkat naik seiring dengan pertambahan pengunjung luar & dalam negara. 

Kalau dulu orang Indonesia sendiri pun tak berapa mengenali Pulau Komodo, namun sejak akhir-akhir ni semakin ramai wisatawan dari Indonesia sendiri yang menjadikan Labuan Bajo & Taman Negara Komodo sebagai destinasi pilihan.

Antara port yang paling dicari mereka di Taman Negara Komodo adalah Pulau Padar, port yang paling 'Instagrammable' dengan pemandangan yang jarang-jarang dapat dilihat di tempat lain, bukit-bukit gersang berlatarbelakangkan langit & laut yang jernih lagi membiru.

Fuh tetiba ayat jadi skima pulak.

Tadi kata tak nak cerita panjang, nah sampai penuh muka surat hang hentam. Kalau exam Bahasa Melayu ni confirm angkat tangan dengan muka angkuh mintak kertas tambah ni! Hiks!

Nak masuk pukul 5.30 pagi dah nak cerah dah di Labuan Bajo ni.

Fajar menyinsing di kota Labuan Bajo. Tapi masih sunyi sepi lagi.

Jalan kaki ja dari Siola Hotel ke kedai tour agent tempat kami tempah trip balik hari Komodo semalam. Dari situ jalan kaki jugak sampai ke kawasan Pelabuhan Labuan Bajo.


Sehari sebelum abang & adik abang ke Pulau Padar, kami mencari-cari pakej trip balik hari 'Sailing Komodo' di kota Labuan Bajo setibanya dari Bali. Tak banyak info yang dijumpai di internet berkaitan trip balik hari Labuan Bajo-Taman Negara Komodo ni. 

Sampai di Labuan Bajo baru melilau cari tour agent yang buat trip macam ni. Mujurlah dah nak Mahgrib ada lagi tour agent yang bukak berhampiran Masjid Labuan Bajo. Kami ambik pakej 'Sailing Komodo' ke Pulau Padar, Pulau Komodo, Pink Beach & Manta Point dengan harga Rp550k seorang. Harga ni termasuk makan & minum serta peralatan snorkeling sekali.

Hangpa boleh baca catatan abang yang lepas untuk info yang lebih lanjut. Abang ada ceritakan.

Oleh kerana jarak yang agak jauh, pukul 5.00 pagi dah kena berkumpul untuk menaiki bot dari Pelabuhan Labuan Bajo ke Taman Negara Komodo. Azan Subuh di Labuan Bajo ni awal, lebih awal dari zon waktu di Sabah & Sarawak. Pukul 4.30 dah masuk Subuh dah.

Dari Hotel Siola tempat kami menginap, kami berjalan kaki menuju ke kedai tour agent dahulu sebelum dibawa menuju ke bot di kawasan Pelabuhan Labuan Bajo.

Sampai di bot kena tunggu penumpang lain dulu baru bot bertolak. Sementara menunggu tu, abang tour agent yang bawa kita akan tanya kita pakai kasut saiz berapa, nanti depa akan bagi alatan snorkeling (goggle+fin) untuk kegunaan snorkeling nanti.

Adik abang tak mau snorkeling, jadi abang pun turut serta prihatin tak snorkeling jugak. Mat-mat saleh lain semua pakat ambik alatan snorkeling masing-masing, kami hanya mampu tengok ja. Kalau abang sorang memang layan dah snorkeling ni.

Bab makan jangan risau, sebelum bot bertolak ke Taman Negara Komodo, masa ni jugak makanan tengahari kita akan disediakan oleh tour agent kita.

Untuk maklumat, tokey bot & tour agent bukanlah orang yang sama. Pengusaha tour agent akan cari penumpang untuk dikongsikan ke dalam sebuah bot. Jadi bot tak akan ambik tahu pasal alatan snorkeling & makanan kita. Depa cuma bawak ja kita ke pulau-pulau yang seperti mana dijanjikan oleh tour agent.


Kawasan Pelabuhan Labuan Bajo yang menempatkan bot-bot persiaran kecil.

Ada seorang abang dari tour agent yang akan tunjukkan & bawak kita pi ke bot pagi untuk trip sailing Komodo.

Inilah bot yang abang akan naik untuk trip balik hari ke Pulau Padar & Pulau Komodo. Saja kami lepak luar dulu tak naik lagi.

Ni pulak deretan bot-bot mewah yang ada di Pelabuhan Labuan Bajo.

Bot kayu ni ada dek di bahagian atas. Boleh lepak berjemur kalau tak panas.

Masa abang sampai tak ada penumpang lain lagi. Saja abang lepak kat luar dulu sementara menunggu penumpang lain. 

Brader baju hitam ni la yang bawak abang jalan kaki dari kedai tour agent (tempat abang booking semalam) ke bot di kawasan Pelabuhan Labuan Bajo. Yang brader lagi sorang tu krew bot abang.

Bot yang bawak kami ke Pulau Padar ni hanya bot kayu yang ada deck di atasnya. Bot di sini walaupun bot kayu tapi dah nampak cukup mewah dah bagi abang. Tak ada la teruk mana walaupun bot kayu.

Dalam bot yang abang naik tu ada la dalam 12 orang penumpang kalau tak salah termasuk la abang dan adik abang sekali. Kami ja wakil tunggal dari Malaysia. Yang lain semua mat saleh dari Sepanyol ada, UK ada. Ada juga sepasang laki bini dari Indonesia. Tapi bini dia mat saleh. Depa mai dari Kupang, Indonesia. Bukan Kupang, Baling.

Dalam pukul 5.30 pagi bot mula bergerak dari Pelabuhan Labuan Bajo menuju ke Pulau Padar. Hari dah mula cerah waktu tu.

Sementara ada dalam bot tu, tekong bot sediakan kami sarapan pagi. Depa letak pisang, roti, jem semua kat satu meja. Pakat ambik la kat situ. Nak buat ayaq kopi ka Nescafe semua ada. Depa siap bawak ayaq panas dalam termos.

Untuk satu bot ni, ada 5 orang krew bot. Orang muda semua. Campuq dengan penumpang sekali ada 17 orang semua.

Baguih-baguih orang Labuan Bajo ni. Ada salah sorang dalam tu abang ingatkan tekong bot, rupanya dialah tokey bot! Nampak biasa-biasa ja. Tapi ada 2-3 buah bot lain. Tak kira kapal layar yang bawak orang 'Live On Board' 2-3 malam tu lagi. Yang tu pun tokey ni ada.


Bila dah ada mat saleh dah naik bot, abang pun naik la jugak cari tempat duduk. Semua duduk atas bangku kayu macam ni.

Lebih kurang pukul 5.30 pagi baru bot bergerak dari Pelabuhan Labuan Bajo menuju destinasi pertama iaitu Pulau Padar.

Suasana dalam bot trip balik hari dari Labuan Bajo ke Pulau Padar & Pulau Komodo. Sarapan percuma disediakan pagi tu dalam bot style layan diri.

Barisan penumpang-penumbang bot yang majoritinya mat saleh. Ada 12 orang semuanya kalau tak silap termasuk abang & adik abang sekali.

Sekeping roti lipat dua berintikan Nutella buat sarapan pagi tu di dalam bot. Nikmat tuhan yang mana telah engkau dustakan. Tak cukup roti, balun pisang pulak tambah.

Mat-mat saleh yang awalnya duduk depan abang tadi masing-masing dah hilang pakat naik bersantai kat dek di bahagian atas bot.

Tinggal abang, adik abang dan sepasang suami isteri ni kat bahagian bawah bot. Laki di orang Kupang, Indonesia. Bukan Kupang, Baling.

Bot kayu ni tak laju mana, santai ja. Langgar ombak pun rilek ja.

Tekong bot dan anak kapal yang lain. Ada 5 orang semuanya. Jadi satu bot ni ada 17 orang semuanya. Yang pakai cermin mata hitam tu abang ingatkan sama level anak kapal, rupanya dia tuan punya bot ni!

Sahaja abang lepak kat bawah bot ambik angin dulu, supaya tiada saingan nak baham roti & pisang. Awal tadi kalut sangat orang putih pun nak breakfast sekali.

Bangku kayu tadi boleh diubahsuai menjadi kerusi baring.

Pulau-pulau Nusa Tenggara ni banyak berbukit bukau dengan rumput halus ja.

Nak lepak dek atas bot dah penuh pulak, abang lepak bahagian bawah bot ja.

Dok depan ni ja mampu. Nak dok kat tayar depan tu pun boleh. Tapi tak berapa berani. Tengok laut kiri kanan hitam semacam ja tu. Huhu.

Bukit-bukit kepulauan Nusa Tenggara yang gondol dengan pokok-pokok renek. Memang tak jumpa pokok-pokok besar yang tumbuh.

Bot-bot tempatan yang melintasi lautan Nusa Tenggara Timur.

Trip Segera Nusa Tenggara ni abang ambik gambaq semua pakai telefon Xiaomi Mi A1 ja.

Ternampak kelibat kampung di pinggiran pantai di kejauhan.

Abang tak pasti nama apa kampung yang abang nampak ni. Latarbelakang dia bukit, depan dia laut. Fuh !

Sementara nak sampai Pulau Padar tu jauh jugak, kerja dok bergambar je lah atas bot ni. Tengok bukit-bukit tu rasa dah masuk kat zaman prasejarah pulak.

Nampak bukit kat belakang tu? Belum sampai lagi Pulau Padar. Ada 3 buah pulau yang terdapat di Taman Nasional Komodo ni. Pulau Padar, Pulau Komodo & jugak Pulau Rinca.


Bukit yang nampak dari jauh tadi.

Bot yang abang naik ni ada tandas kat bahagian belakang. Tapi vibrate sikit la sebab bawah dia enjin bot! Haha.

Pemandangan dari buritan bot.

Toleh belah kiri tengok ada geng lain jugak. Yang ni pun abang syak nak pi Pulau padar jugak nih.

Krew-krew bot yang ramah. Laut yang mereka hadap hari-hari mencari rezeki.

Bila matahari dah memancar terik, mat-mat saleh yang dok atas dek tadi ada yang dah turun semula ke bawah.

Giliran abang pulak nak naik atas dek tengok macam mana keadaan dia dari atas ni. Memang layan kalau tak panas. Tengok langit ditambah pulak angin laut. Fuh!

Bahagian ni kalau hujan ke apa ada canvas boleh tutup.

Ada banyak bot-bot lain yang hangpa boleh nampak sepanjang perjalanan ke Pulau Padar.

Tu dia kulit dua tona! Orang putih suka la bagi nampak tanned ni. Kita berbelang sikit pun tak boleh dah.

Gambar-gambar candid guna kamera telefon Xiaomi Mi A1 sepanjang perjalanan dari Labuan Bajo ke Pulau Padar. Ok done promote.

Brader dari Sepanyol ni. Nak sembang pun slang orang Sepanyol ni lain maciam sikit. Dah la grammar abang pun berterabur.

Indah betul tengok bumi Nusa Tenggara Timur ni.

Abang nak duduk macam ni la kat depan bot tu, tapi tak berapa berani. Buat tersadung jatuh laut. Haha. Mampuih.

Laut punca rezeki mereka hari-hari. Yang abang suka orang asal Labuan Bajo ni semua ramah-ramah dan baguih. Mudah mesra.

Bot kami berselisih dengan bot yang mai ikut tepi tadi. Geng-geng depa jugak ni. Yang ni pun sama jugak nak pi Pulau Padar. 

Krew bot kami yang baguih ni bila cemuih dia pi la dok depan. Abang nak duduk atas tayar macam dia tu tapi tak berapa berani takut terhumban masuk laut.

Jarak perjalanan dari Pelabuhan Labuan Bajo ke Pulau Padar kalau naik bot kayu macam ni lebih kurang 3 jam setengah. Sebab tu kita kena bergerak keluaq sewal jam 5.00 pagi. Naik pukul 5.30 pagi, pukul 9.00 pagi sat lagi baru sampai Pulau Padar.

Selama 3 jam setengah dalam bot tu hangpa buat la aktiviti bebas hangpa. Nak bersantai kat atas deck ka, nak tiduq ka semua boleh. Kalau lapaq boleh makan roti lagi.

Kalau geng mat-mat saleh ni depa akan naik atas bot untuk berjemur. Depa memang suka la bagi kulit hitam. Kita ni ja orang Malaysia tak mau main panas. Tak nak kulit hitam. Kulit hitam tak lawa. Nak kulit putih selalu.

Bot kayu ni dia tak laju macam speed bot. Rilek santai-santai ja. Kalu naik speed bot ni mau melambung-lambung mabuk sementara nak sampai.

Pemandangan indah disajikan sepanjang perjalanan ke Pulau Padar. Laut, pulau, bukit, langit semua bersatu. Fuh ayat !

Kalau hangpa perasan, bukit-bukit yang terdapat di Taman Negara Komodo ni contohnya seperti Pulau Padar & Pulau Rinca semuanya gondol-gondol ja. Yang ada hanya rumput-rumput halus. Nak cari sebatang pokok besaq pun payah.

Bukit-bukit ni hasil dari letusan gunung berapi suatu ketika dulu. Terletak di Lingkaran Api Pasifik, Indonesia dan gunung berapi memang tak dapat dipisahkan. Sama macam Tasik Danau Toba di Medan tu. Kalau hangpa pernah pi Danau Toba boleh tengok bukit-bukit di sana lawa-lawa ja. Rumput halus ja yang ada.

Abang perhati ja lautan Flores ni. Ada satu kawasan tu ayaq laut dia gelap gelita, ada kawasan yang jernih nampak dasar. Pemandangan ni hangpa boleh nampak lebih jelas bila naik flight dari Bali ke Labuan Bajo. 

Tengok yang laut gelap tu seriau jugak. Sambil-sambil naik bot tu hangpa akan perasan ikan-ikan dolfin berenang sama-sama tak jauh dari bot. Boleh nampak sirip dia.


Laju jugak bot sebelah ni potong bot kami. Nak pi Pulau Padar jugak ni kalau tak salah abang.

Bot sebelah ni kawasan lepak atas dek dia ada bumbung. Kami punya takda. Terbuka.

Naik bot kayu dari Labuan Bajo ni memang takda jaket keselamatan. Pandai-pandai la hangpa berenang kalau bot karam. Haha.

Pulau dengan tebing tinggi dah menjadi pemandangan biasa bila iba di Taman Negara Komodo ni. Air laut menghakis sikit demi sikit.

Abang turun bawah semula bila rasa panas dok berjemur atas deck tadi.



Tak ada kamera mahal nak ambik gambaq kat Pulau Padar. Cukuplah bawak telefon Xiaomi Mi A1 buat modal ambik gambaq. 

Xiaomi Mi A1 dengan 2x optikal zoom. Eh tetiba terpromosi pulak Xiaomi. Haha.


Kapal besar tu yang selalu orang tiduq 2-3 malam 'Live On Board' (LOB) kat tengah lautan kepulauan Komodo ni.

Antara impian yang menjadi kenyataan. Pulau Padar di depan mata! Selalu dok berangan tengok gambaq Google ja.

Bot akan berlabuh di gigi air Pulau Padar. Masing-masing pakat lompat turun, walaupun ada tangga yang disediakan. Takut kasut basah.

Tekong-tekong bot sangat membantu penumpang untuk turun. 

Nampak macam mana latar belakang bukit bukau Pulau Padar? Macam zaman prasejarah beb!



Pulau Padar merupakan pulau ketiga terbesar di Taman Negara Komodo selain Pulau Komodo dan Pulau Rinca. 

Abang tertengok kat Google ke Instagram je dulu pasal Pulau Padar ni, terus pasang impian nak jejak jugak kaki kat sini.

Alhamdulillah diberikan ruang dan peluang untuk tiba di Pulau Padar. Macam tak percaya pulak boleh sampai sini.

Untuk pengetahuan, Pulau Padar ni diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO oleh kerana terletak bersama-sama Pulau Rinca & Pulau Komodo di dalam Taman Negara Komodo. Tapi kat sini mustahil nak jumpa biawak komodo walaupun dikatakan ada kerana rantaian makanan yang terputus.

Untuk dapat pemandangan yang 'Instgrammable', hangpa kena la hiking sikit naik ke atas bukit gersang di Pulau Padar ni. Ada tangga yang disediakan di awal perjalanan dari kawasan pantai tempat bot-bot berlabuh. Tangga tu sikit ja, lepas tu baru kena ikut jalan tanah merah berdebu lagi kering hingga ke puncak.

Kalau waktu abang sampai pukul 9.00 pagi tu, bercerau peluh menitik semntara nak hiking sampai atas tu. Bot yang bawak kita tu akan bagi masa sejam untuk kita hiking naik dan turun semula. Memang tak berapa cukup masa. Pukul 10.00 kena ada semula di bot.

Tak boleh santai-santai sangat. Nak kena hiking pun dah makan masa dekat 20 minit. Seksa dia sebab panas yang teramat sangat. Hangpa boleh tengok muka bumi Pulau Padar yang kering kontang ni pun hangpa dah boleh bayangkan macam mana panas dia.

Masa abang pi ni kena pulak musim kemarau. Tu nampak muka bumi Pulau Padar kering lagi tandus tu. Dah la sebatang pokok pun tak ada nak berteduh atas ni. Berbelang jugak kulit.

Krew-krew bot pun ada yang teman sekali sampai ke puncak. Ada yang berehat tidur dalam bot. Penumpang lain mat-mat saleh awal-awal lagi dah pacak naik seusai turun dari bot.

Abang & adik bag rilek-rilek ja hiking nak sampai atas. Pancit pun ada jugak. Mengah sementara nak sampai. Jalan sikit ambik gambaq, jalan sikit ambik gambaq.

Mana mungkin dengan pemandangan yang ada di Pulau Padar ni tak ambik gambaq banyak-banyak?
























































Pulau Padar ni terkenal dengan teluk dia yang membiru. Kalau mai musim hujan boleh nampak bukit-bukit ni menghijau!

Bot bagi masa kita sejam ja untuk kita lepak kat Pulau Padar ni. Kena kejaq masa sikit nak hiking & ambik gambar.

Jika anda tahu betapa panasnya Pulau Padar sewaktu ini. Tempat berteduh pun tak ada!

Banyak ja lokasi yang baik untuk hangpa ambik gambar kat Pulau Padar ni. Yang bukan fotografer pun sampai sini tiba-tiba boleh claim jadi fotografer.

Nampak denai-denai tu? Jalan tu la yang hangpa kena ikut untuk naik ke puncak bukit Pulau Padar.

Nampak macam Bukit Broga tapi bukan dia. Buat iklan rokok boleh laku ni.

Gunung-gunung vulkanik dengan laut yang membiru di Pulau Padar. Bot yang bawak kita akan berlabuh di tepi pantai bawah tu.

Mana mungkin untuk melupakan Pulau Padar dengan pemandangan sebegini.

Bot dah tunggu kat bawah untuk ke Pulau Komodo dari Pulau Padar.

Air laut yang kristal jernih di pesisiran Pulau Padar.


Musim kemarau Pulau Padar ni bermula dari bulan Julai hingga Disember setiap tahun. Kalau hangpa mai waktu ni hangpa akn nampak pemandangan yang macam abang nampak. Tanah gersang lagi tandus. Minat sungguh dia dengan ayat gersang lagi tandus ni. Hihi.

Kalau nak tengok rumput-rumput yang kering Pulau Padar ni kembali segar dan berwarna hijau, boleh mai bulan Februari hingga Jun. Musim hujan waktu tu. Tapi nak naik bot pun tak berapa syok la musim hujan. Kena gaya kena bantai ribut waktu musim hujan tu.

Abang plan nak pi Pulau Padar ni pun sebenarnya tak tahu musim apa kat sana. Alhamdulillah la cuaca elok walaupun musim kemarau. Dah sampai baru tahu musim kemarau. Huhu.

Memang hangpa kan rasa berada di dunia yang lain bila sampai di Pulau Padar ni pada musim kemarau. Nampak macam cerita 'Jurassic Park' pun ada dengan pemandangan bukit-bukau kering yang memacak.

Buat masa sekarang tiada bayaran yang dikenakan untuk melawat Pulau Padar ni. Dengan jumlah wisatwan yang semakin meningkat hari demi hari tak mustahil kena bayaq pulak yuran nak masuk Pulau Padar ni suatu hari nanti.

Abang dok tengok ada pekerja-pekerja tengah dok buat tangga lain pulak untuk memudahkan pengunjung mendaki ke puncak Pulau Padar. Lepas ni semakin mudah la nak naik. Tak payah dah lompat batu-batu besaq macam Bukit Tabur nak sampai atas.

Abang sangat rekomen bagi mereka yang teringin nak ke Pulau Padar ni tapi bajet ciput macam abang elok ambik trip balik hari ja. Kalau abang jenis tak suka sangat dok atas bot lama-lama sampai 2-3 hari hadap laut. 

Cuma tempat yang dilawati mungkin terbatas kalau buat trip balik hari ni. Boat akan bawak kita ke Pulau Padar, Pulau Komodo (tengok biawak), Pink Beach & Manta Point (Karang Makassar) untuk trip balik hari ni. Tapi itu pun sebenarnya dah cukup untuk menjelajah Kepulauan Flores & Taman Nasional Komodo yang semakin mendunia.




Dari Pulau Padar kami bergerak naik bot semula ke destinasi seterusnya iaitu Pulau Komodo. Saja abang cerita satu bahagian ke satu bahagian dulu, gambaq banyak sangat nak bubuh. Cerita tak seberapa gambaq ja yang banayak. Sayang nak buang, elok racun hangpa tengok.

Nanti abang sambung balik cerita Trip Segera Nusa Tenggara ni. Nak cari balik folder gambaq Pulau Komodo pulak. Letak kat mana tak tau. Huhu.

Trip Segera Nusa Tenggara | Dirakam sepenuhnya menggunakan kamera telefon Xiaomi Mi A1.

Bersambung ke Trip Segera Trans Nusa Tenggara | Part 5 : Dari Pulau Padar ke Pulau Komodo

8 ulasan:

  1. Nice entry, cantik plak ambik gambar pakai Xiaomi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih!

      Pakai kamera telefon Xiaomi ja senang nak bawak. Haha

      Padam
  2. Balasan
    1. Kan?

      Masuk Pulau Padar ni dah rasa macam tempat lain dah

      Padam
  3. Bro, nanti akhir post letak lah itinerary, menarik ni travel overland flores, payah nak cari blogger yg cerita terperinci macam bro, semoga terus menulis dengan jayanya!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih! Insyaallah bro atas komen yang terperinci ni!

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...